![]() |
| Gambar Hiasan |
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah kini Rojulullah diberi kelapangan untuk menyampaikan sewarkah
Ilmu di dalam pejuangan penulisan ini.
Kali ini Rojulullah akan mengupas berkenaan dengan Perkara berkait rapat dengan ibadah
Puasa Enam hari di bulan syawal.
..::Pertama sekali mari kita mengambil sebuah hadith sebagai asas kepada ibadah Puasa Enam serta beberapa penerangan berkenaannya::..
Rasulullah s.a.w bersabda :
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll).
2. Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa puasa enam hari pada Bulan Syawwal adalah sunat. Walaupun Al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H) menganggap makruh puasa enam hari pada Bulan Syawwal, namun pendapat tersebut dianggap tidak kuat. Dalam Al-Muwatta riwayat Al-Imam Malik Bin Anas disebutkan:
“Malik berpendapat mengenai puasa enam hari selepas Idil Fitri bahawa beliau tidak pernah melihat ilmuwan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut. Tidak sampai kepadanya apa-apa riwayat daripada ulama salaf mengenai hal itu. Ilmuwan memakruhkan puasa tersebut. Mereka bimbang kebidahannya. Bimbang golongan jahil mengaitkannya dengan Ramadan”. (al-Muwatta’, 1/330 –bil: 857. Beirut: Muassasah al-Risalah).
Maksudnya, beliau menyatakan makruh sebab beliau tidak melihat ahli ilmuwan di Madinah ketika itu mengamalkannya dan bimbang puasa tersebut dianggap wajib oleh mereka yang jahil. Adapun riwayat hadis di atas yang menggalakkan puasa enam hari Syawwal dianggap tidak kukuh disebabkan rawi Sa’d bin Sa’id bin Qais adalah masalah hafalan maka dianggap tidak kuat jika dia bersendirian (infirad) dalam riwayat. Di samping itu Al-Imam Malik mengukurnya dengan amalan ilmuwan Madinah pada zamannya yang beliau dapati tidak mengamalkannya.
3. Namun hadis ini dianggap sahih oleh majoriti ilmuwan hadith. Walaupun Sa’d bin Said bin Qais mempunyai sedikit masalah, tetapi hadith ini ada mutaba’ah (jalur rawi yang lain) seperti Sofwan bin Sulaim dan selainnya. Maka hadis ini sahih dari segi ilmu hadis. Ketika mengulas kenyataan Al-Imam Malik yang melihat tiada ilmuwan pada zamannya mengamalkan puasa enam tersebut, al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) berkata:
“Apabila sunnah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana ia tidak diamalkan oleh sebahagian, atau kebanyakan atau semua orang sekalipun” (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 8/238, Beirut: Dar al-Khair).



