TERIMA KASIH KERANA DATANG KE LAMAN KAMI

Sunday, April 3, 2011

Pembabitan HITLER dalam politik

Post ini ialah rentetan dari post yang bertajuk "Somethings me not know about HITLER".Moga-moga teman dapat manfaat daripada membacanya.
Selepas Perang Dunia I berakhir, Hitler telah ditempatkan di Munich, ibunegeri Bavaria. Pada ketika itu Bavaria berada dalam keadaan revolusi. Kurt Eisner, pemimpin parti Sosialis Bebas Independent Socialist Party, telah mengisytiharkan Bavaria sebagai sebuah republik sosialis. Akibatnya pada Mei,1919 Tentera Jerman telah memasuki Munich dan menumpaskan kerajaan sosialis tersebut.


Hitler sendiri telah ditahan kerana disyaki sebagai seorang berfahaman sosialis. Namun beliau dibebaskan setelah bersetuju untuk membantu mereka mengenal pasti tentera yang menyokong kerajaan revolusi pimpinan Kurt Eisner. Beliau kemudiannya, diberi tugasan yang baru iaitu sebagai perisik gerakan revolusi di Munich.
Pada September 1919, beliau diarahkan untuk menghadiri mesyuarat German Worker's Party (GWP). Pihak tentera bimbang parti baru ini yang diterajui Anton Drexler, cenderung ke arah revolusi komunis. Sewaktu menghadiri mesyuarat ini beliau bersetuju dengan misi parti ini iaitu kearah nasionalisme Jerman dan anti-Semitisme. Walaupun beliau hadir sebagai seorang perisik, beliau tidak dapat menahan dirinya daripada memberi ucapan yang berkobar-kobar. Drexler amat tertarik dengan karisma Hitler sewaktu berpidato dan kemudiannya menjemput beliau menyertai parti ini.
Sewaktu Hitler menyertai parti GWP, keahliannya amatlah sedikit iaitu hanya seramai 46 orang. Namun beliau tidak berputus asa dan menggunakannya keahliannya sebagai medan latihan untuk memperbaiki kemahiran berpidatonya. Lama kelamaan beliau telah digilap menjadi bintang yang bersinar dan kebolehannya untuk berpidato telah menarik ramai orang untuk menyertai parti tersebut. Hitler kemudiannya terus berkecimpung dalam arena politik. Antara lain beliau telah membawa masuk beberapa kawan tenteranya termasuk Kaptan Ernst Roehm. Kemasukkan Roehm amat bermakna kepada parti yang baru ini, kerana dia mempunyai akses kepada tabung tentera dan wang ini telah disalurkan kepada parti tersebut. Hitler kemudiannya diberi tugas menguruskan jentera propaganda parti pekerja ini dan beliau kemudiannya menukar nama Parti Pekerja German kepada Nationalist Socialist German Workers Party (NSDAP) ataupun parti NAZI.
Pada Februari 1920, parti NSDAP telah mencetak programnya yang pertama dipanggil "25 Points" (25 perkara). Antara lain, program ini telah menolak syarat-syarat Perjanjian Versailles dan menyeru rakyat Jerman untuk bersatu. Program ini telah memperkukuhkan ideologi nasionalisme, dengan memberi hak saksama kepada rakyat Jerman sahaja dan bukannya orang luar atau orang asing. Pada 24 Februari 1920, sebuah perjumpaan besar-besaran telah diadakan untuk mengumum program ini kepada rakyat jelata dan ia dihadiri oleh seramai 2,000 orang. Hitler sedar kejayaan parti Nazi adalah atas daya usahanya sendiri dan Drexler terpaksa meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Hitler.
Pada awal penubuhannya, gerakan parti ini terbatas di Munich iaitu ibunegeri Bavaria. Pada 1923, ekonomi Jerman telah dilanda krisis apabila pekerja di Ruhr telah mengadakan mogok. Mogok ini berlaku kerana tentera Perancis telah menduduki wilayah tersebut setelah kerajaan Jerman gagal membayar pampasan perang mereka kepada Perancis. Pada 13 Ogos Canselor Jerman yang baru,Gustav Stresemann bersetuju untuk kembali membayar wang pampasan kepada Perancis dan ini mencetuskan kemarahan rakyat Jerman. Hitler menganggap peristiwa ini sebagai suatu kesempatan untuk menumbangkan kerajaan Bavaria dan juga kerajaan demokratik Jerman. Walaupun begitu, revolusinya yang dikenali sebagai "Beer Hall Putsch" telah digagalkan. Pemberontakan selama dua hari ini telah ditumpaskan oleh pihak berkuasa Munich dan beberapa ahli Nazi telah terbunuh.
Hitler dan para penasihatnya telah disabitkan dengan kesalahan dan dipenjarakan atas tuduhan khianat. Pada waktu ini karier politik Hitler telah berakhir selama beberapa tahun.

Kebangkitan Hitler sebagai Fuhrer parti Nazi

Hitler dibebaskan dari penjara pada 20 Disember 1924. Jerman pada waktu itu sedang mengalami pemulihan ekonomi dan rakyatnya mula yakin kembali dengan sistem demokratik negara. Antara 1924 hingga 1929, partinya mengalami zaman yang malap. Sewaktu pilihan raya 1924 dan 1928, parti NSDAP memenangi kerusi yang sedikit di Reichstag iaitu kurang daripada 20 kerusi. Pada waktu ini, beberapa orang penting telah menyertai parti NSDAP iaitu Joseph Goebbels dan Heinrich Himmler. Mereka kemudiannya menjadi penyokong Hitler yang paling berpengaruh semasa beliau memimpin negara Jerman.

Walaupun begitu nasib mula menyebelahi Hitler pada 1929, apabila Amerika Syarikat dilanda Kemelesetan besar akibat kejatuhan di Wall Street. Pada akhir 1930, hampir 4 juta rakyat Jerman telah menjadi penganggur. Sokongan kepada parti NSDAP semakin melonjak. Pada tahun 1929 parti NSDAP memenangi undi majoriti dalam pengundian bandar Coburg, dan kemudiannya memenangi pengundian daerah Thuringia. Akhirnya pada pilihan raya umum September 1930, parti pimpinan Hitler telah menambahkan kerusinya dari 14 ke 107, menjadikannya parti kedua terbesar di Reichstag.
Pada 1932, parti NSDAP telah menjadi parti terbesar di Reichstag, namun parti beliau disekat oleh parti lain seperti parti Jerman Sosial Demokrat dan parti Komunis Jerman. Sebelum ini, beliau telah berulang kali meminta Presiden Paul Von Hendinburg untuk menjadi Canselor tetapi telah menemui kegagalan. Akhirnya beliau telah hilang sabar dengan demokrasi dan melancarkan keganasan terhadap penyokong sosialisme dan komunisme. Ramai penyokong parti telah dibunuh dan beberapa ahli parti Nazi telah dipenjarakan. Akibatnya, ramai rakyat Jerman menolak Nazi yang dianggap sebagai parti samseng dan pada pilihan raya 1932, sokongan parti ini telah menurun. Manakala, parti komunis pula telah mendapat sokongan padu dan telah berjaya menambah bilangan kerusi di Parlimen sebanyak 100 kerusi.
Walaupun begitu, Hitler telah menggunakan kemenangan parti komunis sebagai suatu kesempatan untuk mencetus huru-hara. Beliau dengan jentera propagandanya telah berusaha menakutkan rakyat jelata dengan menyebarkan berita kononnya kebangkitan Bolshevik akan berlaku dan hanya NSDAP mampu membendungnya. Beberapa ahli perniagaan terkenal yang risau dengan revolusi tersebut telah merayu kepada Paul Von Hendinburg supaya Hitler dilantik sebagai Canselor. Hindenberg akhirnya terpaksa akur dengan desakan mereka dan melantik Hitler yang berusia 43 tahun sebagai Perdana Menteri 'Chancellor' Jerman.


Jerman dibawah kerajaan "Third Reich"

Selepas pilihan raya 1932, Hitler mencadangkan Rang Undang-Undang Enabling Bill yang memberi kuasa diktator kepadanya. Rang Undang-Undang tersebut memerlukan tiga perempat undi Reichstag dan partinya hanya mempunyai satu pertiga kerusi. Walaupun begitu, sebahagian besar wakil parti komunis telah dimasukkan ke Kem tahanan. Hitler hanya memerlukan sokongan Catholic Centre Party (BVP) untuk meluluskan akta ini. Hitler kemudiannya berjumpa dengan perwakilan parti ini dan menjamin hak saksama untuk gereja Katolik. Akhirnya parti Nazi berjaya mendapat sokongan parti BVP dan akta ini diluluskan.
Langkahnya yang pertama ialah mengambilalih persatuan sekerja. Selepas itu parti komunis dan Sosial Demokrat telah diharamkan. Ini disusuli pula parti lain termasuk Catholic Centre Party, Nationalist Party dan parti-parti lain selain NSDAP telah diisytiharkan sebagai parti haram, dan pada akhir 1933 terdapat lebih 150,000 tahanan politik dihantar ke kem tahanan. Joseph Goebbels telah dilantik sebagai Menteri Propaganda dan sentiasa memantau maklumat yang disebarkan melalui semua suratkhabar, majalah-majalah, buku-buku, radio dan sebagainya. Manakala Goering, yang merupakan Menteri Dalam Negeri telah membuang pegawai-pegawai tinggi polis dan menggantikannya dengan penyokong Nazi. Mereka ini kemudiannya dipanggil Gestapo.
Pada awal pemerintahan Hitler, sebagai seorang yang gila kuasa beliau sentiasa bimbang dengan perebutan kuasa dalam partinya sendiri. Oleh yang demikian beliau telah melaksanakan sistem pecah dan perintah divide and rule bersama pegawai-pegawainya yang berpengaruh seperti Goebbels, Roehms dan Goering. Antara mereka bertiga, Roehms merupakan orang yang paling dicemburui kerana mengetuai pasukan SA yang besar dan berkuasa. Oleh itu, beliau telah dituduh sebagai seorang homoseks oleh musuh-musuhnya. Walaupun, Hitler pada mulanya tidak mempercayai cerita ini tetapi beliau mempercayainya apabila melihat dengan sendiri pegawai yang digemarinya itu melakukan hubungan homoseks dengan pegawai bawahannya.
Pada malam yang dikenali sebagai Malam Pisau Panjang "The Night of the Long Knives" Hitler membunuh semua penentangnya termasuk Roehms dalam parti Nazi. Hitler juga menyalahkan Komunis dan Yahudi atas kelembapan ekonomi dan berjaya meraih sokongan angkatan tentera dengan melaksanakan polisi melengkapkan peralatan senjata Jerman.
Namun demikian, banyak kejayaan telah berlaku sewaktu beliau berkuasa di Jerman. Antara lain, Jerman merupakan negara Eropah pertama yang pulih sepenuhnya daripada kemelesetan besar yang melanda ekonomi dunia. Kadar pengangguran telah dikurangkan apabila kaum wanita digalakkan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah, lantas memberi laluan kepada kaum lelaki untuk mendapat kerja yang baru. Disamping itu, beliau telah memulakan industri automatif secara besar-besaran di Jerman dengan pembuatan kereta Volkswagen (yang bermaksud "kereta rakyat" dalam bahasa Jerman) dan juga membangunkan sistem lebuhraya autobahn di sana.

Selepas ini kita akan ikuti pembabitan Hitler dalam perang dunia ke-2..Wallahua'lam



..::tak habis lagi,tekan 'Read more', kalau dah baca sampai-sampaikanlah,,syukran::..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...