TERIMA KASIH KERANA DATANG KE LAMAN KAMI

Friday, April 20, 2012

IDEOLOGI(Part 1)






Assalamualaikum w.b.t

Pada entry kali ini Rojulullah berminat untuk kongsi dengan sahabat-sahabat sekalian berkenaan dengan 'IDEOLOGI'. Pada entry kali ini Rojulullah akan menerangkan dulu pengertian IDEOLOGI serta mengetengahkan salah satu IDEOLOGI yang biasa kita dengar dan mungkin kita tidak pernah ambil tahu tentang ia. Selamat membaca.



..::MAKSUD IDEOLOGI DAN PENGARUHNYA KE ATAS UMAT ISLAM::..

Istilah ‘ideologi’ dibentuk daripada kata ‘ideo’ yang bererti pemikiran, khayalan, konsep, keyakinan dan sebagainya, manakala kata ‘logi’ bermakna logik, ilmu atau pengetahuan. Kedua-dua kata tadi digabungkan dan menghasilkan maksud sebagai ilmu tentang keyakinan-keyakinan dan gagasan. Dalam konteks ini ideologi mengandungi keyakinan dan gagasan yang ditaati oleh suatu kelompok, suatu kelas sosial, suatu bangsa atau suatu ras tertentu.

Terdapat juga definisi daripada William James yang menyatakan bahawa ideologi adalah “man’s total view or thought about life” yakni pandangan dan pemikiran manusia tentang hidup dan kehidupan.

Apapun pengertian yang diberikan kepada ideologi, jelasnya ia adalah hasil pemikiran manusia. Ia turut memberi kesan besar dalam kehidupan umat Islam sekarang. Umat Islam hari ini kebanyakannya sudah tidak mengamalkan Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka. Mereka hanya memandang Islam dari sudut ibadah khusus semata-mata seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Tidak tergambar lagi pada pemikiran mereka bahawa Islam itu mencakupi seluruh kehidupan mereka bermula dari bangun tidur pagi dan lelap semula pada malam hari. Inilah akibat daripada pengaruh ideologi ke atas kehidupan umat Islam.


..::CIRI DAN SUMBER IDEOLOGI SERTA PERBEZAAN DENGAN ISLAM:::..

Antara ciri-ciri ideologi adalah ia bersumberkan akal manusia, tidak kekal, dan memihak kepada golongan tertentu. Ciri-ciri ini jelas membezakannya dengan Islam. Islam datang dari sumber Ilahi pencipta manusia manakala ideologi hanyalah hasil pemikiran dan pemerhatian manusia. Maka sudah pasti terdapat banyak kelemahan pada ideologi ini kerana pemikiran manusia adalah terbatas tidak dapat menjangkaui apa yang berlaku pada masa lepas dan masa depan.

Islam bersifat kekal pada dasar dan matlamatnya sejak dari zaman Nabi Adam hingga hari kiamat. Ideologi-ideologi manusia sering berubah-ubah mengikut zaman. Pada suatu ketika manusia mengagungkan dasar-dasar komunisme. Apabila ia runtuh manusia beralih kepada dasar kapitalisme kemudian sekularisme dan banyak lagi. Ideologi-ideologi ini sentiasa berubah, ada masa gemilangnya dan ada masa keruntuhannya yang membuatkan manusia berubah haluannya.

Salah satu daripada ciri Islam adalah ‘alamiah iaitu sejagat. Ia merangkumi kepentingan semua pihak tidak kira tua, muda, miskin, kaya dan sebagainya. Ini berbeza dengan ideologi yang melebihkan golongan tertentu. Sistem kapitalisme melebihkan keuntungan golongan berada dan menindas golongan miskin. Sistem feudal pula melebihkan golongan atasan daripada golongan bawahan. Nasionalisme pula menyebabkan wujudnya jurang antara satu-satu bangsa mengikut tanah air mereka. kesemua ini menumjukkan kepincangan sesebuah ideologi.



..::NASIONALISME::..

Pengertian :

Nasionalisme tidak mempunyai takrif atau definisi yang tepat. Ini disebabkan sifatnya yang berbeza-beza dan berubah-ubah mengikut sejarahnya yang khusus dan struktur sosial yang khas bagi setiap buah Negara.

Pengertian yang terbaik yang dapat diberi setakat ini adalah pengertian yang diberi oleh Hans Kohn di dalam bukunya yang berjudul ‘ The Idea of Nationalism’ iaitu : satu keadaan fikiran, yang menyerap masuk ke dalam jiwa sebahagian besar rakyat dan didakwa menyerap masuk ke kalangan semua anggotanya. Dia mengiktiraf negara bangsa sebagai bentuk organisasai politik yang unggul dan bangsa sebagai punca bagi segala kehidupan budaya yang membina dan punca kesejahteraan ekonomi. Oleh itu kesetiaan ulung kepada bangsa dan dimungkinkan oleh kebajikan bangsanya.

Dalam pengertian lain, nasionalisme ialah perasaan untuk memelihara atau memperluas kebangsaan rakyat atau identiti kebangsaan. Apabila usaha-usaha itu tidak dapat dilaksanakan, maka akan dirasakan satu kekurangan. Maksudnya nasionalisme merupakan satu ideologi yang mendominasi satu kumpulan manusia untuk menaikkan taraf kumpulan mereka.

Di dalam bahasa Arab ia disebut Qaumiyah atau ‘asabiyah. Ia bermaksud mengajak seseorang supaya menyokong kumpulan atau bangsanya supaya bersatu antara satu sama lain untuk melawan sesiapa sahaja yang menentang mereka, tidak kira sama ada mereka zalim atau dizalimi. Mereka sangat fanatik terhadap kumpulan mereka. lebih-lebih lagi jika mereka ada bersama.

Dari apa yang disebut di atas, boleh dibuat kesimpulan bahawa fahaman kebangsaan atau nasionalisme ialah satu ideologi dan fahaman yang dihayati oleh sesuatu kumpulan masyarakat atau bangsa tertentu dan mereka tolong-menolong antara satu sama lain dengan berasaskan satu bangsa, satu keturunan dan satu negara yang sama dan bukan di atas aqidah dan agama anutan.


Ciri-ciri nasionalisme :

  1. Keturunan dan daerah yang sama

Contohnya orang Melayu yang memperjuangkan kebangsaan Melayu umpamanya mereka adalah berasal daripada satu rumpun bangsa Melayu yang mendiami Tanah Melayu, bukan bangsa lain, begitulah seterusnya.

  1. Bahasa yang sama (satu bahasa)

Umpamanya pejuang-pejuang kebangsaan Arab, mereka ada mempunyai satu bahasa sahaja iaitu bahasa Arab. Golongan yang membela kebangsaan Melayu mereka mengguna satu bahasa iaitu bahasa Melayu.

  1. Bumi dan tanahair adalah satu

Misalnya mereka yang memperjuangkan kebangsaan Melayu, mereka mestilah mendiami bumi Melayu (Tanah Melayu atau Malaysia)

  1. Mempunyai kepentingan bersama

Pejuang-pejuang kebangsaan mengatakan sesuatu kebangsaan itu mestilah mempunyai kepentingan bersama yang diperjuangkan. Contohnya, masing-masing berjuang untuk mempertahankan kemerdekaan negaranya, atau membangun dan memajukan negaranya.

  1. Percanggahan Nasionalisme dengan Islam

Ia adalah satu ideologi yang diambil daripada luar ajaran Islam yang tiada hubungkait dengan aqidah dan ajaran Islam. Islam tidak membenarkan umatnya mengambil aqidah/ideologi selain daripada Islam dan mengambil manhaj hidupnya selain daripada manhaj Islam. Ini kerana perbuatan sedemikian boleh menyeleweng daripada aqidah Islam yang sebenar. Lainlah jika sesuatu perkara yang diambil dari luar tidak bercanggah dengan ajarannya. Selepas itu diturunkan ayat yang berbunyi :


أَوَلَمْ يَكْفِهِمْ أَنَّا أَنزَلنَا عَلَيْكَ الكِتَابَ يُتْلَى عَلَيْهِمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَرَحْمَةً وَذِكْرَى لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ 

“ Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahawasanya Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) sedang dia dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya dalam al-Quran itu rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Ankabut : 51)

  1. Semangat kebangsaan adalah ‘asabiyah dan ajaran jahiliyah

Islam menganggap segala dakwah yang mengajak kepada ikatan berasaskan bangsa atau keturunan atau suatu keluarga dan suatu perkara yang sempit tidak kepada ajaran Islam yang syumul adalah dianggap sebagai dakwah jahiliyah dan dakwah qaumiyah yang dimarahi Allah. Sebagaimana yang dijelaskan dalam firmanNya :

قُل إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي القَوْمَ الفَاسِقِينَ

“ Katakanlah (wahai Muhammad) : ‘jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang akmu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya), kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka) ”

(Surah at-Taubah : 24)

Ayat di atas menjelaskan jika sekiranya seorang Islam mengutamakan keturunan, bangsa, keluarga, harta kekayaan dan seumpamanya mengatasi kepentingan Allah dan RasulNya juga mengatasi jihad pada jalan Allah, maka mereka dikira bersalah dan akan disiksa oleh Allah nanti.

  1. Nasionalisme menentang persudaraan Islam

Islam menganggap ikatan ukhuwwah Islam yang berasaskan kepada aqidah Islam adalah mengatasi sebarang ikatan lain sama ada ikatan keturunan dan darah. Firman Allah swt :


إِنَّمَا المُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ 

“ Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat ”

(Surah al-Hujurat : 10)

Sabda baginda S.A.W di dalam khutbah pada hari Haji Wida’ yang bermaksud :

“ Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu satu, dan sesungguhnya bapa kamu adalah satu. Setiap kamu adalah dari Adam dan Adam pula berasal dari tanah. Sesungguhnya (orang) yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah adalah (orang) yang paling bertaqwa. Tiada kelebihan bagi seorang yang berbangsa Arab ke atas seorang yang bukan Arab kecuali dengan taqwa ”.

  1. Nasionalisme meninggalkan hukum Islam (tidak melaksanakannya)

Islam tidak menganggap seseorang itu Islam yang sebenar kecuali apabila dia beriktikad dan yakin dengan erti kata yang sebenar bahawa ajaran Islam dan hukum hakamnya adalah layak dan sesuai untuk dilaksanakan pada setiap masa dan keadaan. Firman Allah swt :

أَفَحُكْمَ الجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ حُكْماً لِّقَوْمٍ يُوقِنُ

“ Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum hakam jahiliyah? Padahal -bagi orang-orang yang penuh keyakinan- tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah ”

(Surah al-Maidah : 50)

Sedangkan pejuang-pejuang semangat kebangsaan tidak menjalankan hukum Islam bahkan menghukum dengan hukum wadh’i dalam segala perkara kecuali mengenai persoalan ibadat dan nikah kahwin. Pejuang kebangsaan biasanya menghukum dengan hukum sekular atau mereka melaksanakan Fasl al-Din wa Ad-Daulah (mengasingkan agama dengan kerajaan). Perbuatan sedemikian bercanggah dengan prinsip Islam.

  1. Menyebabkan penyokongnya melakukan perlantikan orang-orang kafir sebagai pemimpin

Golongan yang membela semangat kebangsaan akan melantik orang-orang kafir dari keturunannya atau keturunan yang lain sebagai wali atau pemimpin mereka apabila orang kafir tersebut sealiran dengan mereka. Sedangkan sikap sedemikian ditegah oleh Allah dan RasulNya. Allah berfirman :

يَأيها الدين أمنُوا لاتخدوا المؤمَنُون الكافرُون أولياء من دون المؤمنين

“ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah orang-orang yang beriman itu mengambil orang kafir sebagai kepimpinan dan meninggalkan orang-orang beriman ”


...akan bersambung pada Part 2..Syukran

..::tak habis lagi,tekan 'Read more', kalau dah baca sampai-sampaikanlah,,syukran::..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...