TERIMA KASIH KERANA DATANG KE LAMAN KAMI

Tuesday, August 30, 2011

Realiti Puasa Enam

Gambar Hiasan
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah kini Rojulullah diberi kelapangan untuk menyampaikan sewarkah
Ilmu di dalam pejuangan penulisan ini.
Kali ini Rojulullah akan mengupas berkenaan dengan Perkara berkait rapat dengan ibadah
Puasa Enam hari di bulan syawal.

..::Pertama sekali mari kita mengambil sebuah hadith sebagai asas kepada ibadah Puasa Enam serta beberapa penerangan berkenaannya::..

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll).
2. Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa puasa enam hari pada Bulan Syawwal adalah sunat. Walaupun Al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H) menganggap makruh puasa enam hari pada Bulan Syawwal, namun pendapat tersebut dianggap tidak kuat. Dalam Al-Muwatta riwayat Al-Imam Malik Bin Anas disebutkan:
“Malik berpendapat mengenai puasa enam hari selepas Idil Fitri bahawa beliau tidak pernah melihat ilmuwan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut. Tidak sampai kepadanya apa-apa riwayat daripada ulama salaf mengenai hal itu. Ilmuwan memakruhkan puasa tersebut. Mereka bimbang kebidahannya. Bimbang golongan jahil mengaitkannya dengan Ramadan”. (al-Muwatta’, 1/330 –bil: 857. Beirut: Muassasah al-Risalah).
Maksudnya, beliau menyatakan makruh sebab beliau tidak melihat ahli ilmuwan di Madinah ketika itu mengamalkannya dan bimbang puasa tersebut dianggap wajib oleh mereka yang jahil. Adapun riwayat hadis di atas yang menggalakkan puasa enam hari Syawwal dianggap tidak kukuh disebabkan rawi Sa’d bin Sa’id bin Qais adalah masalah hafalan maka dianggap tidak kuat jika dia bersendirian (infirad) dalam riwayat. Di samping itu Al-Imam Malik mengukurnya dengan amalan ilmuwan Madinah pada zamannya yang beliau dapati tidak mengamalkannya.
3. Namun hadis ini dianggap sahih oleh majoriti ilmuwan hadith. Walaupun Sa’d bin Said bin Qais mempunyai sedikit masalah, tetapi hadith ini ada mutaba’ah (jalur rawi yang lain) seperti Sofwan bin Sulaim dan selainnya. Maka hadis ini sahih dari segi ilmu hadis. Ketika mengulas kenyataan Al-Imam Malik yang melihat tiada ilmuwan pada zamannya mengamalkan puasa enam tersebut, al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) berkata:
“Apabila sunnah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana ia tidak diamalkan oleh sebahagian, atau kebanyakan atau semua orang sekalipun” (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 8/238, Beirut: Dar al-Khair).


Maksud al-Imam al-Nawawi, kita tidak patut meninggalkan sesuatu sunnah Nabi s.a.w hanya kerana melihat orang lain tidak mengamalkannya sedangkan ia telah terbukti sahih riwayat tersebut di sisi ilmuwan hadith dan tiada nas sahih lain yang boleh menolak amalan tersebut. Inilah pendirian sepatutnya terhadap sunnah-sunnah Nabi s.a.w. Jika para ulama di Madinah pada masa Al-Imam Malik bin Anas yang ketika masih ramai tabi’in dan sarjana-sarjana besar tidak dijadikan hujah bagi menolak amalan sunnah, apakah kita hari ini kita menolak sesuatu hadith hanya kerana orang Malaysia tidak mengamalkannya, atau ulama Malaysia tidak mengamalkanya? Sudah pasti itu dilakukan, maka terhapuskan banyak sunnah-sunnah Nabi s.a.w.
4. Berasaskan hadith ini maka kita dapat fahami bahawa sesiapa yang melakukan dua perkara;
 Pertama, berpuasa pada bulan Ramadan. 
Kedua, berpuasa enam hari pada Bulan Syawwal. Maka ganjarannya seperti dia berpuasa setahun. Ertinya, jika dia hanya berpuasa Ramadan sahaja tanpa enam hari pada bulan Syawwal, dia tidak memperolehi fadilat ini. Demikian juga jika dia hanya berpuasa enam hari pada bulan Syawwal tanpa diselesaikan puasa Ramadan, maka dia juga tidak memperolehi fadilat ini.

..::Berkenaan dengan Cara meng'qada' puasa dengan berpuasa enam hari::..
5. Berdasarkan aturan ungkapan dalam hadis ini, maka yang terbaik seseorang yang mempunyai qada puasa Ramadan, sebaiknya hendaklah menyelesaikan qada (gantian) Ramadan dahulu kemudian diikuti enam hari pada Bulan Syawwal. Jika tidak berkesempatan lalu berpuasa enam dahulu dan qada selepas itu, mudah-mudahan amalan itu tetap diterima Allah kerana secara umumnya dia menunai keduanya, cuma tidak berdasar susunan sahaja.

..::Kena berpuasa secara enam hari berturut-turut atau sekadar enam hari(secara berselang)??::..
6. Terdapat perbezaan dalam kalangan ulama; apakah afdal ditunai puasa enam hari pada bulan Syawwal itu sebaik sahaja selepas hari raya secara berturut-turut, atau mana-mana enam hari pada bulan Syawwal itu sama sahaja. Pendapat Mazhab Ahmad(Hambali) samada ditunaikan berturut-turut atau tidak adalah sama sahaja. Pendapat Mazhab Hanafi dan Syafi’i: Afdalnya berturut-turut selepas hariraya (lihat: Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah 1/380, Beirut: Dar al-Fikr).
7. Walaupun di sana ada yang berpendapat yang afdalnya adalah berturutan selepas hariraya disebabkan ungkapan ‘kemudian dia susulinya’, namun fadhilat puasa enam ini tetap diperolehi oleh sesiapa sahaja yang berpuasa enam hari tersebut dalam bulan Syawwal sekalipun bukan berturut-turut selepas hari raya. Kata al-Imam al-Nawawi:
“Afdalnya dilakukan puasa enam hari berturut selepas hari raya. Jika dilewatkan sehingga akhir Syawwal tetap mendapat fadilat ‘disusuli enam hari’ kerana ia menyusuli enam hari dalam bulan Syawwal” (Syarh Sahih Muslim, 8/238).
8. Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi ketika menjawab persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu berturut-turut selepas hari raya atau tidak, berkata:
“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).
..::Umm..macamana pula kalau saya berpuasa enam di hari saya hendak berkunjungan 
ke rumah-rumah sedara mara?bagaimana agaknya dalam menjaga hubungan silaturrahim? ::..

9. Oleh kerana hari-hari puasa enam Syawwal itu ada pilihan, sementara kadang-kadang waktu kemeriahan keluarga itu sukar diperolehi melainkan seperti pertemuan semasa cuti hari raya ini, maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunat pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Puasa sunnat digalakkan, namun menjaga hubungan silaturrahim dan perasaan kaum keluarga juga amat penting. Ini bersesuaian dengan hadith Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda:“saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!)Jelas, baginda tidak menggalakkan berpuasa jika ada jamuan demi menjaga perasaan sahabat handai. Maka menjaga perasaan kaum keluarga lebih utama.
10. Tiada dalam Islam apa yang dinamakan dengan ‘hariraya puasa enam’. Tiada juga ibadat khusus hari raya puasa enam Syawwal seperti ‘solat tasbih hariraya puasa enam’ yang dibuat di sesetengah tempat. Ini semua perkara yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sabda Nabi s.a.w.:
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).
Solat tasbih jika hendak dilakukan, jangan dikaitkan dengan hariraya puasa enam atau sebagainya.
(Dipetik & diolah daripada tulisan Ustaz Dr Azri Zainul Abidin)

..::Disini Rojulullah ingin berkongsi soalan daripada seorang hamba Allah ini::..

Soalan; Bolehkah puasa qada dilakukan bersama puasa sunat iaitu, Qada Ramadhan dan juga puasa sunat, contohnya puasa sunat enam yang mana niat qada ramadhan dahulu diikuti dengan puasa enam, contohnya "Sahaja aku berpuasa esok hari, Qada Ramadhan and puasa sunat enam kerana Allah Taala"?


Jawapan;

Ya. Harus diniatkan sekali. Namun jika mampu memisahkannya –yakni melakukan puasa secara berasingan- itu yang sebaik-baiknya. Apabila berlaku pertembungan antara puasa Qadha dan puasa enam, kita boleh memilih seperti berikut;
a) Yang terbaik ialah kita menyelesaikan dahulu puasa qadha, kemudian diiikuti dengan puasa enam.
b) Jika kita tidak mampu puasa kedua-dua sekali dalam bulan Syawal, harus kita mendahulukan puasa enam di bulan Syawal, adapun puasa Qadha kita lakukan pada bulan-bulan lain.
c) Jika kita tidak mampu berpuasa kedua-duanya secara berasingan, harus kita meniatkan kedua-duanya dalam satu puasa. Malah sebahagian ulamak berkata; jika seseorang berpuasa dengan niat qadha dalam bulan Syawal, automatik akan dapat untuknya pahala puasa enam sekalipun tanpa ia meniatnya kerana yang diperkira ialah wujudnya sebarang puasa dalam bulan Syawal itu.
Susunan di atas adalah mengikut keutamaan. Yang paling utama ialah pilihan (a), diikuti (b) dan seterusnya (c).
(Dijawab oleh Ustaz Ahmad Adnan Fadzil)
Gambar Hiasan

..::Kelebihan dari segi kesihatan(sesuai dengan perut orang Malaysia)::..
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri.
Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan.
Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah pula amalan masyarakat kita suka mengadakan kenduri pada musim-musim perayaan.
Pada hari raya, ia mencerna pelbagai jenis makanan bermula dari ketupat rendang sehinggalah kepada nasi minyak.
Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
 Akhir kalam ingat hari raya bukan sahaja hari untuk kita berseronok sakan tanpa berlandaskan landasan syariat.Sudah cantik apabila sunnah Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa enam dengan diberi ganjaran seperti puasa setahun.Jadi Rojulullah mengajak sahabat-sahabat sekalian ayuhlah kita berpuasa enam reramai(terutamanya yang badan dia dah makin 'berisi' tu,hehe)Sekian wassalam.




..::tak habis lagi,tekan 'Read more', kalau dah baca sampai-sampaikanlah,,syukran::..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...